Monday, June 29, 2009

Novel Bersiri Santai Paling menakjubkan Anda Pernah Baca..
Berani berkhayal dan berimaginasi agar berkarya lebih bermutu dan menarik lebih bererti.


Karma Tulah Wira Asmara

Salam..
Pernah dengar orang bercerita tak. Orang bercerita tentang macam-macam cerita. Ada cerita sedih, cerita pahlawan, cerita seram, cerita cinta, cerita kelakar dan bermacam-macam lagi. Saya tak pandai bercerita, apatah lagi untuk menulis. Tetapi yang paling susah bagi saya ialah memulakan sesuatu cerita. Nak mula di mana, bagaimana, siapa wataknya dan apa ceritanya. Mmmmm…tak susah kalau nak bercerita. Cakap je (tapi saya tulislah). Pasang lagu…ikut tema cerita..lalu tulislah dan ceritalah..

Aku ada seorang kawan. Itu permulaan cerita ku. Kawan ku itu, aku namakan Asmara. Seorang lelaki, berumur lebih kurang 28 tahun pada tahun ini. Tidak perlulah aku ceritakan secara fizikalnya dia itu bagaimana tampang fizikalnya. Aku boleh katakan saja dia setakat cukup makan kacaknya. Berlainan dari aku yang boroi ini. Kawan ku ini ada bercerita padaku tentang pengalaman hidupnya. Berbagai-bagai ceritanya. Maka aku jadikan ceritanya sebagai panduan cerita aku yang seterusnya. Untuk bacaan santai sahaja. Takut-takut kamu semua boring. Begini ceritanya…

…Namaku Asmara, bukan asmaradana atau asmahara ataupun amarah. Lahir ke dunia pada tahun 1980. Hidup ku dah agak lama. Ajal ku akan tiba, tapi aku tak tahu bila, kerana itu bukan kerja aku, itu kerja Tuhanku. Pada ketika ini aku ingin menceritakan kepada si Boroi ini tentang perjalanan hidupku sehingga kini. Aku tak pandai bercerita macam si Boroi ni. Maaflah Roi. Dulu kau sama saiz dengan aku, tapi kini kau semakin canggih pula menyimpan peralatan doraemon dalam perut mu. Balik pada topik.

Semasa aku dilahirkan. Kata ayahku, pada waktu subuh sejuk ke tulang sum-sum. Badan ibuku meleleh peluh berjejeh. Pintu telah terbuka luas untuk aku menerobos keluar melihat cahaya dan menghirup udara bumi. Pabila keluar saja, kata ayah ku yang ada di sisi ibuku pada ketika dan saat itu, aku keluar tanpa seurat benang pun.. memanglah kan.. tak menangis pun. Yang ajaibnya aku keluar dari rahim ibuku bersama-sama sesuatu yang ganjil. Sesuatu yang pelik, tidak pernah berlaku dalam susur galur keturunan ayahku dahulu. Sepanjang pengetahuan ayah ku lah. Sependek pengetahuan beliau aku tak tahu pulak. Aku dilahirkan bersama-sama sebatang kayu lembut. Ya… kayu itu lembut bagai rotan muda, pada waktu itu. Dan aku tak tahu pasal kayu itu, apa yang terjadi pada kayu itu sehingga pada suatu ketika. Cerita baru bermula. Tunggulah bila aku bagitahu tentang kayu itu kerana sekarang aku tengah cerita pasal aku, bukan kayu. Tetapi oleh kerana perkara ganjil itu, setelah uriku di basuh maka kayu bersama dengan uri itu ditanam oleh bapaku berlainan tempat. Takut-takutlah mungkin ada jin atau syaitan yang empunya kayu itu.

Dari umurku satu hari sehinggalah umurku empat atau lima tahun, aku tak mampu mengingat peristiwa atau tempat yang penting. Cuma kata Ibuku, aku memang cepat boleh bercakap berbanding dengan bayi-bayi yang seusia dengan ku. Malah Aku boleh berjalan ketika usia ku mencecah lapan bulan. Memecahkan rekod mana-mana keturunan ayah dan ibuku sebelum ini. Apa benda yang dimakan oleh ku semuanya ditanya oleh pakcik dan makcik ku yang tak berapa nak puas hati tentang tumbesaran yang berlaku pada ku. Tetapi biarlah. Lantak pi lah. Aku mula mengingati peristiwa yang menjadi memori sejarah dalam hidupku sejak berumur enam tahun. Ketika itu aku mula mengingat mungkin kerana aku dah masuk sekolah tadika pada tahun sebelumnya. Masuk tadika awal kerana ibuku malas nak jaga aku yang amat mulia ini. Yang selalu menyelerakkan pinggan mangkuknya didapur atau yang membasuh lantai diruang tamu dengan nasi buburku,hampir setiap hari kecuali jika aku sakit.

Seingat-ingat aku ketika aku mula-mula ingat dulu…berapa banyak ingat daa.. aku teringat..ingat lagi. Aku terkenangkan memori (cewah-subteks), satu perkara yang masih tak berapa nak segar dalam ingatanku ini. Pada waktu itu aku memang haram tak sedar. Sewaktu aku berada di tadika, ketika itu masa rehat, aku bersama kawan-kawan ku, yang ku ingat antaranya epul capang – kerana kecapangan telinganya, soid lampin – kerana dia masih pakai lampin sehingga darjah 3, Suzan jambul – kerana rambutnya bertocang dua dan aku, Mara rumpang – kerana gigiku hampir habis . Kami berempat (sebenarnya berlima tapi aku lupa seorang budak perempuan lagi, cuba nak ingat tapi lupalah juga), masuk ke dalam longkang di tepi tadika aku tu. Biasanya tak de hal, macam biasa je… Dan pada hari itu, ada seekor ular tedung selar, kembang kepalanya sama saiz dengan badan ku. Ular tersebut tengah berdiri tegak, betul-betul tegak, lurus macam pembaris rotan cikgu tadika kami. Hujung ekornya saja yang mencecah di lantai longkang itu. Ular tu bergoyang-goyang macam lalang ditiup angin. Empat orang kawan ku itu, apa lagi.. menjerit-jeritla… senik-senik-senik (pasal pagi tadi baru belajar, ular dalam bahasa inggeris, snake).

Cikgu tadika kami bersuara hairan dari dapur tadika, “mana boleh makan snek, tak berkhasiat, lagipun dah makan mee dengan air susu tadi kan”. Cikgu kami pun menghulur kepalanya di muka pintu. Apabila dia nampak saja ular itu, mmm… dia pun menjerit sama, ular-ular-ular. Dalam kekalutan itu, oleh kerana tukang kebun belum sempat sampai, sebabnya tukang kebun tu tengah buang air di jamban sekolah sebelah, kerana jamban tadika tak muat untuk badannya.. Aku tanpa sedar pergi dekat dengan ular tu. Cikgu tadika kami yang bernama Puan Rifah – singkatan bagi Seripah, memanggil-manggil namaku. Dia sempat menarik murid-murid lain, tapi aku terlepas agaknya. Aku waktu itu, telah betul-betul dekat dengan ular itu, hanya secapai jaraknya. Aku tersentuh ular itu tanpa sengaja. Aku pegang genggam tak kuat ular itu. Lalu…. (tunggu) tapi yang pastinya, aku tak mati, hidup sehat hingga kini. Bersambung…

No comments:

Post a Comment